Penjenayah selalu cuba mencari cara untuk menipu anda di luar talian dan dalam talian. Ada skim penipuan yang sudah wujud sepanjang zaman yang saya hadapi secara peribadi setiap bulan: seseorang dengan suara kasar menelefon saya dan meminta maklumat kad saya kerana katanya terdapat "aktiviti yang mencurigakan."
Namun, itu bukanlah satu-satunya penipuan akaun perbankan yang kita sering hadapi. Oleh itu, kami ingin memberitahu anda mengenai perangkap paling popular yang dibuat oleh penipu yang berpura-pura menjadi organisasi yang boleh dipercayai dan sah.
SMS dan panggilan palsu dari "bank anda"
Penjenayah boleh menggunakan pelbagai jenis helah untuk mengetahui bank mana yang anda gunakan. Mereka boleh menghantar e-mel, pesanan SMS, mesej media sosial kepada anda yang tampak seolah-olah ia datang dari bank anda. Dalam mesej bank palsu ini, penjenayah akan menawarkan sejumlah wang yang besar sebagai balasan untuk satu bayaran token dari anda, meminta anda mengesahkan maklumat perbankan anda untuk semakan mereka, atau untuk melaporkan "aktiviti mencurigakan." Ingin tahu satu rahsia? Itu semua palsu.
Bank anda tidak akan meminta maklumat sensitif menerusi e-mel atau telefon. Sekiranya seseorang itu mengaku berasal dari bank anda dan meminta maklumat bank anda, ada kemungkinan besar mereka sedang cuba untuk mencuri wang anda, jadi teruskan dengan penuh berhati-hati dan hubungi bank anda untuk mengesahkan sekiranya panggilan atau SMS tersebut tidak palsu.
Menyemak lebihan bayaran
Penipuan dalam talian jenis ini adalah antara yang tertua yang pernah ada. Anda menjual sesuatu dalam talian, dan seseorang membelinya. Tetapi mereka membayar anda dengan cek yang nilainya lebih tinggi dari harga jualan. Pembeli tersebut meminta anda menunaikan cek tersebut dan mengirimkan perbezaan amaun kepada mereka. Anda pun lakukan seperti yang mereka minta, dan kemudian menyedari bahawa cek mereka rupa-rupanya palsu. Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Wang berkenaan sudah pun anda kirimkan, dan kini, anda perlu menanggung denda cek tendang selain dari wang anda yang telah lesap.
Jika anda menerima pembayaran yang tidak berbentuk tunai, hubungi bank yang mengeluarkannya untuk mengesahkan keaslian cek berkenaan. Hanya setelah mereka mengesahkan pembayaran berkenaan diizinkan, baharulah anda hantarkan dana anda.
Menunaikan cek untuk orang lain
Seseorang yang tidak dikenali akan mendekati anda dan meminta anda menunaikan cek untuk mereka. "Saya tidak mempunyai akaun di bank ini," kata mereka, "dan saya memerlukan seseorang untuk menunaikan cek ini untuk saya dan memberikan saya wangnya."
Setelah satu atau dua hari baharulah anda mengetahui bahawa cek itu tidak laku. Wang yang anda keluarkan untuk membayar orang yang tidak dikenali ini akhirnya dibayar dengan wang anda sendiri. Beliau sudah lama pergi meninggalkan anda, dan anda tidak mendapat apa-apa untuk kebaikan yang anda tunjukkan. Sekiranya seseorang meminta anda menunaikan cek untuk mereka, jelaskan bahawa mereka boleh menunaikan sendiri cek itu, dengan sedikit amaun akan ditolak sebagai fi bagi orang yang bukan pelanggan. Mereka tidak memerlukan bantuan anda untuk mendapatkan wang mereka.
Penipuan pekerjaan
Ada banyak penjenayah di luar sana yang akan berpura-pura mempunyai peluang kerja-dari-rumah yang sah untuk anda: untuk menerima komisen, anda diminta membuat transaksi pindahan dana masuk dan keluar akaun bank anda. Bunyi seperti suatu yang cepat dan mudah, bukan? Dan sehinggalah akhirnya anda menyedari bahawa "pekerjaan" ini hanyalah alasan yang mereka reka untuk mendapatkan akses terhadap akaun kewangan anda.
Jangan sekali-kali menerima pekerjaan yang memerlukan anda membayar yuran atau kos pendahuluan, tidak kira apa pun justifikasi yang diberi oleh "sang majikan".
Dan sebagai bonus. Beberapa tips ringkas untuk melindungi diri anda dari penipuan akaun perbankan:
- Jangan percaya setiap e-mel atau mesej SMS yang anda terima.
- Jangan leka dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka (ini sangat benar dalam situasi sekarang, semasa wabak melanda).
- Jangan kongsikan maklumat perbankan anda menerusi media sosial.
- Jangan berkongsi maklumat peribadi mengenai identiti anda
- Jangan terlalu gopoh merebut tawaran dalam talian.
- Berhati-hati semasa membeli atau menjual barang di dalam talian.
Komentar