Mengenai Sertai Kami

“Anda Sudah Kena Scam”: Cara-cara Untuk Mengelak Dari Dijerat Oleh Penipu Bitcoin

Jan 11, 2022 - Koby Pearson

Super Healthy Cakes for all family

Hi! Koby Pearson di sini. Sudah agak lama juga kita tidak bertemu. Akhirnya kita ada satu topik baru untuk dibincangkan, dan ia berbaloi dianalisis dengan mendalam.

Di dalam dunia matawang kripto, populariti bitcoin masih jauh dari pudar bukan sahaja di kalangan pengguna tetapi juga para scammer. Setiap hari mereka mencipta cara-cara baru untuk mendapatkan kepercayaan anda dan menggunakan semua kaedah yang mereka ada untuk mencapai dompet anda.

Bagaimana Cara Untuk Mengelakkan Penipuan Matawang Kripto?

Untuk memastikan keselamatan anda, sentiasa berwaspada.

  1. Semak semua maklumat dengan cermat.
  2. Sebelum berdagang bitcoin, kaji semua ulasan pengguna, dan pastikan bahawa bursa tukaran matawang kripto atau dompet yang anda gunakan adalah sah dari segi undang-undang di negara anda.
  3. Jangan pernah berikan kunci persendirian (private key) atau "seed phrase" dompet matawang kripto anda kepada sesiapa. Gunakan dompet dingin (cold wallets) untuk menyimpan maklumat ini.
  4. Semak URL dengan cermat untuk melindungi diri anda dari phishing.

Untuk mengetahui jika suatu syarikat itu sahih, hanya taipkan nama syarikat berkenaan serta perkataan “scam”, “fraud”, “penipuan”, atau “dokumen perundangan” di kotak carian.

Jangan lupa untuk tinjau sekali seksyen Berita dan Imej enjin carian.

Sentiasa beringat bahawa sebelum mendepositkan wang ke mana-mana bursa tukaran, anda boleh sentiasa menanyakan tentang dokumen rasmi yang mengesahkan bahawa syarikat itu dikawal selia oleh institusi kewangan negara anda. Contoh bagi institusi yang tersebut adalah CySEC, SEC, IFCS, dan lain-lain.

Jenis-jenis Penipuan Matawang Kripto

Ada beberapa skim yang sering digunakan oleh scammer secara aktif. Saya akan bincangkan dengan terperinci beberapa skim yang paling utama.

Impersonasi

Anda berkenalan dengan seorang gadis di internet. Selepas beberapa hari bercanda dan berfoya-foya, anda beranjak ke perbualan yang lebih serius tentang kewangan dan cara-cara membuat wang. "Bitcoin sedang jatuh, sekarang masa yang sesuai untuk melabur dalam crypto," tulis beliau. Beliau telah melabur dalam bitcoin selama tiga tahun dengan berjaya sekali dan bersedia membantu anda memperbaiki keadaan kewangan anda, yang goyah ketika pandemik melanda. Beliau kenal sebuah "broker yang dipercayai". Berdasarkan foto, kehidupan sang gadis benar-benar sedang booming: akaunnya mempunyai catatan pengalaman melancong dan foto dari restoran-restoran mahal.

Broker itu meminta anda menyumbang $1,000. Kemudian datang lagi permintaan-permintaan seterusnya untuk menghantarkan lebih banyak dana, dan hanya seperti itu kesudahannya semua simpanan anda sudah licin anda depositkan. Selepas itu, si cantik dan broker itu pun hilang tanpa jejak, laman webnya sudah tidak berfungsi lagi, dan telefon beliau dimatikan.

Pseudo-broker seperti ini mencipta berpuluh-puluh laman web pakai buang yang menyamar sebagai sebuah syarikat pelaburan yang sah. Scammers menggunakan rangkaian media sosial popular, aplikasi chat, dan berpuluh-puluh akaun palsu untuk berkomunikasi dengan mangsa. Berdasarkan laporan yang diterima, purata kerugian daripada onar penipuan bagi setiap kes mencecah puluhan ribu dolar.

Giveaway Palsu Dan Skim Ponzi

Satu skim penipuan bitcoin yang popular ialah giveaway palsu (pemberian hadiah yang palsu). Penipu mengambil kesempatan daripada realiti bahawa ramai orang ingin mendapatkan matawang kripto secara percuma. Mereka menyiarkan iklan di media sosial menjanjikan akan menggandakan jumlah yang anda hantar ke dompet mereka. Walau bagaimanapun, mereka tidak memulangkan kembali apa-apa pun. Untuk menarik mangsa, penipu sering berselindung di sebalik nama para selebriti.

Kebelakangan ini, pakar telah mendapati kekerapan kes penipuan seperti ini telah melonjak. Tidak lama dahulu, ada satu pihak telah menyiarkan artikel Medium di Twitter yang menggunakan nama Elon Musk, mengumumkan pemberian bitcoin palsu. Mereka meminta pengguna menghantar bitcoin atau ethereum, dan berjanji untuk memulangkan sebanyak dua kali ganda. Kali ini, penipu tersebut berjaya mengumpulkan $580,000 dalam bentuk bitcoin dalam seminggu.

Satu contoh lain ialah apabila penipu menggunakan nama pengasas bersama Apple Steve Wozniak untuk menarik mangsa. Pelaku menyiarkan video di YouTube di mana mereka memujuk pengguna untuk menghantarkan matawang kripto ke alamat tertentu, berjanji untuk menghantar kembali dua kali lebih banyak sebagai balasan.

Skim Piramid

Beberapa tahun kebelakangan ini, matawang kripto telah meningkat dengan kukuh dan menunjukkan prestasi pulangan yang baik. Ini menarik perhatian mereka yang ingin menjana wang. Tetapi kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan yang diperlukan untuk melabur secara cekap dalam aset digital.

Penipu mengambil kesempatan dengan menjanjikan pulangan yang tinggi kepada mereka berani memberikan matawang kripto, kononnya untuk diuruskan bagi tujuan pelaburan. Mereka meniru cara kerja syarikat pengurusan dana pelaburan yang sebenar, menerbitkan laporan harian mengenai transaksi dan pulangan. Apatah lagi jika, pada peringkat awal, penipu tersebut malah membuat beberapa pembayaran kepada mangsa, menggunakan prinsip skim piramid. Setelah mempercayai penipu-penipu ini, pengguna mula memberi mereka lebih banyak wang.

Perincian setiap kes mungkin berbeza, tetapi ada beberapa petanda yang sama: pertama, anda cuba diyakinkan bahawa anda sudah berjaya, hasil daripada algoritma matematik yang kompleks. Malah, jumlah yang dipaparkan dalam akaun peribadi, sebenarnya tidak bermakna apa-apa. Apabila pengguna cuba mengeluarkan wang, penipu kononnya bertindak memindahkan "pendapatan" mangsa ke dompet matawang kripto (yang sebenarnya bukan milik mereka, sudah tentunya) yang mengandungi jumlah yang sama dalam bitcoin. Mangsa diminta membayar cukai ke akaun pihak ketiga, dan mereka kemudiannya memeras wang untuk menyelesaikan isu pengeluaran tersebut.

Phishing Dan Aplikasi Palsu

Satu lagi helah yang biasa digunakan oleh penipu ialah pancingan data (phishing), dengan mencipta salinan laman web yang kelihatan sama dengan laman asal. Mengambil kesempatan dari kealpaan pengguna yang mudah tertipu, mereka cuba meyakinkan pengguna untuk membuat transaksi ke akaun pihak ketiga. Penipu mencipta laman web dompet yang palsu untuk menyimpan matawang kripto. Pengguna pergi ke laman itu dan memuat turun aplikasi palsu. Beliau kemudian memasang aplikasi dompet dan memindahkan matawang kripto ke dalam dompet itu, tanpa menyedari bahawa dia sebenarnya sedang menghantar dana kepada penipu. Satu lagi risiko lain ialah bukan sahaja dompet palsu yang boleh dimuat turun, tetapi juga virus yang mampu mencuri data.

Ada satu lagi cara lain untuk menipu. Pedagang pergi ke laman perdagangan yang palsu atau memuat turun aplikasi palsu dan memasukkan nama pengguna dan kata laluan mereka. Maklumat itu seterusnya sampai kepada tangan penipu, dan kemudian mereka boleh menggunakannya untuk mendapatkan akses kepada akaun sebenar pengguna.

Tidak lama dahulu, Amazon juga terlibat dengan skim yang sama. Berita tersebar di media sosial kononnya syarikat itu akan memasukkan Bitcoin dalam senarai matawang yang diterima menjelang akhir tahun, dan pada tahun 2022 ia akan menerbitkan tokennya sendiri. Berita itu tidak disahkan dalam apa cara sekalipun, tetapi ia tetap sahaja memberikan kesan seperti yang dikehendaki penipu. Berpuluh-puluh iklan palsu muncul yang membawa pengguna ke laman web Amazon palsu yang mempromosikan token baharu. Bagi pengguna biasa, tidak mudah untuk mereka membezakannya.

Bursa Tukaran Palsu

Anda boleh hilang wang simpanan anda dengan membeli dan menjual matawang kripto untuk wang fiat. Salah satu cara yang paling popular untuk menukar koin digital kepada fiat atau sebaliknya adalah menerusi pengurup. Pedagang memindahkan aset kepada perkhidmatan pengurup, yang kemudiannya menghantar matawang yang dikehendaki sebagai balasan, contohnya, ke kad bank atau e-dompet.

Terdapat beratus-ratus pengurup, dan penipu boleh menyelit di celah-celah mereka. Mereka menjanjikan keuntungan kepada anda selepas membeli koin digital daripada pengurup sebenar dan kemudian menjualnya semula di platform penipuan. Pengurup sebenar dilibatkan dalam skim sedemikian untuk mendapatkan lebih banyak kepercayaan dari mangsa. Selepas menerima dana, mereka memperlakukan dana itu sesuka hati mereka, menjelaskan kononnya apa yang telah terjadi berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh, mereka mendakwa bahawa terdapat masalah teknikal, transaksi "hang" dalam blokchain, atau mereka menyalahkan pengguna kerana telah memberikan alamat yang salah atau kerana tidak menekan butang "bayar".

Intipati skim ini ialah pengguna membeli matawang kripto di platform sebenar. Kemudian pengguna itu beralih ke platform penipu, kerana mereka menawarkan kadar yang sangat baik untuk menukarkan matawang kripto kepada wang fiat. Tetapi tiada pertukaran yang berlaku. Sebaik sahaja pengguna menghantar dana kepada pengurup palsu, beliau tidak akan mendapatkannya kembali dalam apa jua bentuk.

Tanda-tanda Penipuan

Penipu bekerja dengan mengikuti set prosedur skim yang sudah mantap dan terbukti, yang membolehkan mereka mendapat kepercayaan dari pengguna, dan kepercayaan ini kemudiannya digunakan untuk menipu mereka. Berikut adalah tanda-tanda yang boleh anda gunakan untuk mengenal pasti penipu:

  • Penipu dalam kebanyakan kes menggesa "klien" mereka dan cuba untuk tidak memberi mereka masa untuk menyedari apa yang sedang berlaku.
  • Maklumat dan tawaran eksklusif. Penipu menggunakan muslihat "pepijat rahsia" (secret bugs) dan "peluang sekali dalam seumur hidup" untuk menarik perhatian.

Menjanjikan pulangan yang melampau, 50% atau malah 100% per bulan.

FAQ

Bagaimana Untuk Melindungi Diri Saya Daripada Penipuan Atas Talian?

Penipuan di Internet telah wujud seusia dengan wujudnya laman sesawang itu sendiri. Saban tahun, penipu telah mewujudkan pelbagai tipu dan helah baru untuk memperdaya bakal mangsa mereka. Untuk mengelakkan diri anda terperangkap dengan penipuan atas talian ini, sila pastikan anda mengikut peraturan mudah berikut:

  • Semak tetapan privasi media sosial anda dan jangan sesekali berkongsi maklumat dengan seseorang yang anda tidak kenal.
  • Cipta kata laluan yang kukuh dan berlainan bagi setiap laman sesawang yang anda lawati. Pakar menasihatkan supaya anda menukar kata laluan anda beberapa bulan sekali.
  • Sentiasa berhati-hati apabila menggunakan Wi-Fi umum. Anda boleh gunakannya untuk melayari laman umum, tetapi jangan sesekali menggunakannya untuk membeli belah ataupun untuk perbankan.
  • Jangan membuka atau mengklik teks, tetingkap yang muncul, pautan, ataupun lampiran dalam emel yang mencurigakan.
  • Jangan menghantar wang ataupun memberi maklumat kad kredit, maklumat akaun atas talian, ataupun salinan dokumen peribadi kepada orang yang anda tidak kenal ataupun percaya.
  • Berhati-hati dengan permintaan bayaran yang luar biasa. Penipu akan sentiasa meminta anda untuk membuat pembayaran dengan kaedah yang luar daripada kebiasaaan, termasuklah kad hadiah ataupun matawang digital, seperti Bitcoin.

Apa Yang Saya Harus Lakukan Jika Saya Sudah Menjadi Mangsa Penipuan Atas Talian?

Kadangkala kita memilih untuk tidak membuat laporan penipuan kerana berasa malu setelah ditipu. Harus diingat penipuan adalah jenayah, dan penipu akan sentiasa mencari kaedah baru untuk menipu mangsa mereka. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa, jadi anda harus bersungguh-sungguh untuk mencegahnya.

Perkara pertama yang harus anda lakukan jika sudah menjadi mangsa penipuan ini ialah anda harus menghubungi pihak polis. Sila hadirkan diri ke balai polis terdekat ataupun hubungi nombor kecemasan untuk mendapatkan khidmat nasihat. Sila hubungi bank jika ia melibatkan kad kredit, perbankan atas talian, ataupun cek anda.

Jika wang anda telah dipindahkan melalui sistem pembayaran atas talian (PayPal, WebPay, dll), sila hubungi khidmat bantuan pelanggan mereka. Khidmat bantuan pelanggan boleh menyekat akaun penipu tersebut, untuk mencegah kemungkinan berlakunya kecurian.

Bolehkah Saya Menerima Wang Saya Semula?

Jika penipu tersebut sudah mencuri maklumat kad anda, anda perlu menghubungi khidmat pelanggan bank anda dan menyekat kad tersebut. Selepas itu, hadirkan diri anda ke bank dan hantar permohonan untuk membatalkan pemindahan tersebut. Semakan ke atas permohonan anda boleh mengambil masa sehingga 30 hari. Sila bawa bersama segala bukti yang menunjukkan anda telah diperdaya dan bawa ia kepada pihak bank dan juga polis.

Menurut statistik, hanya 23 peratus sahaja laporan diterima daripada jumlah kehilangan 1.7 juta kes, ia bermakna anda mempunyai peluang untuk menerima kembali wang anda.

  • Mesej berjaya dihantar
  • Mesej tidak berjaya dihantar

Komentar

Tinggalkan komen

Kami menggunakan cookies

Dengan melawat laman web FraudHunter, anda mempersetujui tindakan kami memproses data peribadi adna menggunakan perisian metrik. Butiran selanjutnya

Berita terkini: WikiFX: Berapakah Harga Untuk Reputasi Broker?

Baca lebih lanjut